Tuesday, October 2, 2007

Analisis kajian-( Ulasan daripada soal selidik/graf )-Pandangan mangsa banjir terhadap keberkesanan pihak governans

Daripada data yang kami perolehi, ternyata terdapat beberapa isu yang yang boleh diketengahkan.Antaranya adalah mengenai isu pembahagian bantuan, ketidaksamaan pendapat antara mangsa banjir dan pihak governans dan juga isu jenayah.

Daripada apa yang kami perolehi, rata-rata mangsa-mangsa banjir di Kg.Kelantan dan juga Kg.Tembioh bersetuju bahawa pihak governans umumnya pihak polis telah memastikan keselamatan dan harta benda mangsa berada dalam keadaan yang terjamin. Namun begitu, terdapat juga beberapa mangsa merungut bahawa keselamatan harta benda mereka tidak begitu terjamin. Terdapat kes-kes rompakan yang berlaku ketika mereka berada di pusat pemindahan banjir.
Sementara itu hampir semua respondan kami bersetuju pihak governans telah menjalankan tugas mereka dengan begitu efisyen sekali semasa memberi pertolongan ketika banjir berlaku. Mangsa-mangsa banjir amat berpuas hati dengan bantuan yang diterima terutama ketika urusan pemindahan ke pusat pemindahan sementara. Pun begitu, keadaan sebaliknya berlaku di pihak governans kerana mereka menghadapi pelbagai masalah semasa urusan pemindahan mangsa banjir.Masalah ini sebahagian besarnya berpunca daripada mangsa-mangsa banjir sendiri kerana mereka tidak memberikan kerjasama dengan pihak governans.

Selain itu,mangsa-mangsa banjir juga amat bersetuju bahawa semua pihak governans telah bekerjasama dan telah memberikan bantuan yang tidak berbelah dan sama rata tanpa mengira perbezaan kaum mahupun perbezaan ideologi politik. Data yang kami perolehi juga manunjukkan majoriti mangsa banjir bersetuju bahawa pihak governans telah memberikan perhatian yang sama rata terhadap mangsa banjir dan bukannya hanya menumpukan terhadap sessebuah kawasan atau penempatan sahaja.Di sini, kami ingin mengenengahkan isu politik yang berlaku semasa tragedi banjir tersebut.

Hampir setengah respondan kami bersetuju bahawa terdapat diskriminasi politik oleh pihak governans terhadap mereka. Antara yang hangat diperkatakan ialah mengenai isu pembahagian dan pengagihan bantuan. Contohnya, terdapat sesebuah parti politik yang hanya memberikan pertolongan kepada puak-puak mereka sahaja. Selain itu, terdapat juga masalah yang timbul ketika prosedur prosedur pendaftaran untuk memohon bantuan. Buktinya, kira-kira setengah daripada respondan kami telah bersetuju bahawa mereka mengalami kesulitan semasa membuat pendaftaran tersebut. Salah seorang penduduk di Kg. Kelantan yang kami temubual berkata bahawa beliau tidak menerima sebarang bantuan bantuan sehingga kini gara-gara masalah yang dihadapinya ketika urusan pendaftaran memohon bantuan.

Dari segi logistik pula, kebanyakan daripada respondan kami telah bersetuju bahawa pihak governans telah memulakan kerja-kerja selenggara sistem perparitan, saliran dan juga sungai agar pulih seperti sedia kala. Berdasarkan apa yang kami lihat sendiri, memang terdapat banyak projek-projek selenggara yang sedang dijalankan di Kota Tinggi.Berdasarkan data yang kami perolehi, semua respondan bersetuju bahawa banyak struktur rumah dan bangunan yang musnah teruk ketika tragedi banjir tersebut.Menurut pandangan kami sendiri, faktor pembangunan yang tidak terkawal merupakan faktor utama terjadinya tragedi banjir. Namun demikian, terdapat juga respondan kami yang mengatakan bahawa faktor pembangunan bukanlah faktor berlakunya banjir. Mereka beranggapan faktor muka bumi di Johor yang landai adalah faktor utama.
Selain itu, majoriti respondan kami bersetuju untuk berpindah di kawasan luar Kota Tinggi sekiranya diberikan peluang. Mereka seolah-olah tidak mahu ataupun serik untuk berhadapan dengan tragedi banjir. Kami difahamkan masih terdapat segelintir penduduk masih berada di dalam keadaan trauma akibat peristiwa banjir.Menurut respondan kami,antara bentuk-bentuk bantuan yang mereka perolehi adalah seperti wang ehsan, makanan dan minuman, dan juga kawasan pemindahan sementara. Dalam pada itu, kami juga dimaklumkan terdapat projek ‘penempatan semula’ yang sedang dijalankan oleh kerajaan dalam usaha untuk membantu mangsa-mangsa banjir.Kesimpulannya disini, masih terdapat percanggahan fakta dan pendapat antara pihak governans dan mangsa-mangsa banjir.
Labels: Analisis kajian lapangan di Kota Tinggi

No comments: